100 Penerima Sumbangan Gawai Dayak 2025 Di Simanggang

Posted on 14 May 2025
Source of News: UKAS


SIMANGGANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman telah menganjurkan Majlis Sejambak Kasih Gawai Dayak 2025 bertempat di BME Hotel pada Rabu.

Majlis ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dalam menyambut perayaan utama negeri dengan menyalurkan bantuan kepada penerima bantuan kebajikan bagi meringankan beban kos sara hidup serta mengeratkan perpaduan antara kaum.

Ia telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Pendidikan dan Inovasi (Pembangunan Bakat) Datuk Francis Harden Hollis.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat dan menitikberatkan prinsip inklusiviti dalam pelaksanaan setiap inisiatif tanpa mengira kaum dan agama.

“Program ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan beban kewangan, tetapi juga memperkukuh ikatan komuniti terutama sempena musim perayaan,” katanya.

Menurut beliau, sebelum ini, program Sejambak Kasih turut diadakan bagi sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, Sejambak Kasih Gawai Dayak merupakan program ketiga bagi tahun ini dan program serupa akan diteruskan sempena perayaan utama lain.
Sepanjang tempoh Januari hingga Mei 2025, jumlah bantuan kewangan yang telah disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman ialah sebanyak RM13,210,350 kepada 5,831 penerima bantuan bulanan.

Di kawasan DUN N.32 Simanggang sahaja, jumlah penerima terdiri daripada 856 kaum Iban, 238 Cina, 86 Melayu dan 11 etnik lain.

Seramai 100 orang penerima telah hadir ke majlis bagi menerima sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM100 dan satu hamper bernilai RM80.

Penerima yang tidak hadir akan menerima wang tunai tersebut melalui pengkreditan ke dalam akaun masing-masing.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Wakil Residen Bahagian Sri Aman, Jackline Medan Ikon; Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang; Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Sharifah Mordiah Syed Ali; Pengetua Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, Jacquiline Ebby Ramli; serta pemimpin masyarakat termasuk Pemanca Denneil Saweng dan beberapa Penghulu komuniti Iban. -EDISI UKAS