Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai 2025 Santuni 150 Penerima Bantuan Di Kota Samarahan

Disiarkan pada 14 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Seramai 150 penerima bantuan kebajikan menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan sempena Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai 2025 yang berlangsung di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak di sini pada Rabu.

Majlis anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan itu bertujuan menceriakan golongan kurang berkemampuan dalam menyambut Hari Gawai serta meringankan beban kewangan mereka ketika musim perayaan.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato' Idris Buang berkata, inisiatif seperti ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Program Sejambak Kasih harus diteruskan agar bantuan sampai kepada yang benar-benar memerlukan sama ada di bandar, pedalaman mahupun kawasan persisiran,” katanya semasa berucap pada majlis tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyalurkan maklumat berkaitan individu memerlukan, termasuk pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Pengiran Mohamad Najib Pengiran Mohamad; wakil Residen Bahagian Samarahan, Zainap Halip; Ketua Cawangan Bantuan Kesejahteraan Sosial JKM Sarawak, Jaidah Marbawi serta Temenggong Masyarakat Melayu Samarahan, Chek Bujang. -EDISI UKAS