Yang di-Pertua Negeri Sarawak Sokong Usaha Perkasa Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Alternatif

Disiarkan pada 14 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menerima kunjungan hormat daripada Institut Timbang Tara dan Penyelesaian Pertikaian Sarawak (SiADR) di Astana Negeri di sini pada Rabu.

Kunjungan yang diketuai oleh Pengerusi SiADR, Datuk Yew Jen Kie itu bertujuan untuk memperkenalkan barisan kepimpinan baharu institut tersebut serta memaklumkan perkembangan terkini aktiviti dan peranan SiADR dalam mempromosikan mekanisme penyelesaian pertikaian secara alternatif di negeri ini.

Ditubuhkan pada tahun 2024, SiADR berhasrat untuk memperkukuhkan penggunaan timbang tara dan mediasi sebagai kaedah penyelesaian yang lebih cekap, kos efektif dan inklusif, selari dengan keperluan masyarakat dan sektor korporat di Sarawak.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menzahirkan penghargaan atas usaha murni yang digerakkan oleh SiADR dalam memperkukuh sistem penyelesaian pertikaian yang bebas, profesional dan diyakini semua pihak.

Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama strategik antara SiADR dan institusi kerajaan dalam membina kapasiti sumber manusia tempatan dalam bidang timbang tara, mediasi serta penyelesaian pertikaian alternatif, khususnya dalam landskap perundangan yang semakin kompleks.

SiADR kini dalam usaha memperluas peranannya menerusi pelbagai program latihan, seminar dan kerjasama teknikal bagi mendidik masyarakat serta sektor swasta mengenai kelebihan penyelesaian pertikaian tanpa perlu melalui proses kehakiman yang panjang dan memakan kos tinggi.

Langkah ini dilihat sebagai satu lagi inisiatif ke arah memperkukuh sistem perundangan alternatif di Sarawak yang lebih progresif dan mesra pelabur.

Turut serta dalam delegasi tersebut ialah Timbalan Pengerusi, Senator Robert Lau Hui Yew; Penasihat SiADR, Dato’ Lee Heng Cheong dan Datuk Stephen Chung, Setiausaha, John Ko Wai Seng serta tetamu lain.-EDISI UKAS