Loji Rawatan Air Akut Sungai Sadit Mula Beroperasi Sepenuhnya

Disiarkan pada 14 May 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Projek pembinaan Loji Rawatan Air Akut di Sungai Sadit yang menelan belanja sekitar RM5 juta kini telah siap sepenuhnya dan telahpun beroperasi.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pembinaan loji bermula pada September 2024 itu berkapasiti pengeluaran 4 juta liter air sehari dan mampu mengurangkan tekanan terhadap dua loji utama iaitu Loji Rawatan Air Salim dan Loji Bukit Lima.

“Dengan beroperasinya Loji Rawatan Air Akut ini, beban di Loji Salim yang kini menghasilkan 150 juta liter sehari serta Loji Bukit Lima dapat dikurangkan.

“Ini membolehkan kedua-dua loji menumpukan bekalan air kepada kawasan bandar Sibu, manakala penduduk di Sungai Sadit dan kawasan berhampiran menerima bekalan yang lebih stabil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan loji tersebut pada Selasa.

Tegas Dato Sri Julaihi, usaha berterusan masih diperlukan bagi memastikan semua kawasan di Sibu menerima bekalan air yang mencukupi dan berkualiti meskipun liputan bekalan air di bahagian itu kini berada pada tahap 87.2 peratus.

“Kerajaan juga sedang menaik taraf Loji Rawatan Air Salim untuk mencapai kapasiti 300 juta liter sehari serta menjalankan kajian bagi menambah kapasiti Loji Bukit Lima, sejajar dengan keperluan masa hadapan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan mengurangkan kadar air tidak terhasil (non-revenue water), yang menurutnya kerap berlaku akibat paip bocor berpunca daripada faktor usia, pergerakan tanah atau kerosakan semasa kerja pembinaan.

“Saya menyeru semua kontraktor dan pihak terlibat agar lebih berwaspada dan segera melaporkan sebarang kerosakan kepada pihak berkuasa untuk memastikan bekalan air tidak terganggu,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa projek pembinaan loji ini dirancang untuk menambah baik sistem bekalan air sedia ada serta memenuhi permintaan bekalan yang semakin meningkat di kawasan Sungai Sadit dan sekitarnya, di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan.

Projek dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak itu turut merangkumi pemasangan saluran paip baharu ke dalam sistem agihan sedia ada, dan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh; ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek; Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman dan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak, Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan. - EDISI UKAS