KUCHING: Komitmen kerajaan Sarawak dalam memacu pembangunan industri kreatif sebagai pemangkin ekonomi dan identiti budaya terus diperkasa menerusi penganjuran acara Kre8tif! East 2025.
Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dalam ucapannya menyatakan bahawa kehadiran para peserta, profesional kreatif, wakil industri, pelajar dan delegasi antarabangsa pada acara tersebut menggambarkan semangat bersama untuk memajukan ekosistem kreatif merentasi sempadan dan latar belakang.
Beliau turut berkongsi tentang peranan Jawatankuasa Industri Kreatif Sarawak (SCIC) yang diterajuinya, sebagai platform penyelarasan dasar, perancangan strategik dan penglibatan ekosistem kreatif negeri.
"Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menjadikan industri kreatif sebagai komponen penting dalam pembangunan negeri," katanya berucap semasa pelancaran Kre8tif! East 2025 di Makeramai Makerspace, Plaza Merdeka, Kuching pada Rabu.
Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Tambah Datuk Snowdan, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) boleh memainkan peranan penting dalam menerajui transformasi kreatif di negeri ini.
Antara inisiatif utama yang diketengahkan termasuk pembangunan Direktori Industri Kreatif bersama Swinburne University Sarawak, bagi memudahkan jaringan dan keterlihatan pemain industri, katanya.
Selain itu ujar beliau, kerjasama antarabangsa turut diperluas menerusi jaringan seperti World Craft Council, UNESCO Creative Cities Network, dan pelbagai badan serantau lain dalam memperkukuh usaha memartabatkan seni warisan dan kraftangan tempatan.
Mengulas lanjut, beliau berkata penganjuran acara seperti BorneoCraft Global Expo & Conference 2024 juga menjadi bukti komitmen Sarawak terhadap pembangunan bakat muda dan amalan lestari dalam industri kreatif.
Dalam pada itu, Datuk Snowdan turut mengiktiraf sumbangan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dalam menyediakan platform dan kemudahan kepada usahawan digital dan pencipta kandungan menerusi hab inovasi digital serta fasiliti seperti Makeramai Makerspace.
Jelasnya, kerjasama erat antara MTCP dan SDEC dilihat sebagai kunci dalam merealisasikan potensi penuh bakat kreatif anak-anak Sarawak, agar dapat mencapai aspirasi menjadi pusat kreativiti dan inovasi budaya yang terkemuka di Asia Tenggara.
“Teruskan usaha bersama untuk memperkasa kreativiti, menjana inovasi digital, dan meraikan keunggulan budaya – bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga di peringkat serantau,” katanya.-EDISI UKAS