Kerajaan Sarawak Utamakan Kebajikan Rakyat

Disiarkan pada 13 May 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak sentiasa memberi keutamaan terhadap pembangunan asas dan kebajikan rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.

Menurut beliau, pelbagai inisiatif dan bantuan telah disalurkan oleh kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat, termasuk Kenyalang Gold Card dan bantuan perubatan untuk warga emas, pendidikan percuma untuk pelajar universiti bermula tahun 2026, serta insentif kelahiran bayi dan ibu bersalin.

Beliau berkata demikian semasa menyertai Program Lawatan Pra Gawai anjuran Pusat Khidmat DUN Meradong yang memasuki hari ke-16 dengan kunjungan ke beberapa rumah panjang di kawasan Sungai Lelabi, di sini semalam.

Dalam sesi lawatan tersebut, Datuk Ding berkesempatan beramah mesra dengan penduduk rumah panjang dan mendengar pelbagai permohonan yang dikemukakan oleh para tuai rumah.

Antara isu yang dibangkitkan ialah permohonan bantuan bulanan am daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), khususnya bagi membantu golongan ibu tunggal.

Selain itu, sumbangan SKAS turut disalurkan kepada kategori keluarga dan bujang yang memerlukan di kawasan berkenaan.

Datuk Ding dalam ucapannya turut menyeru agar penduduk rumah panjang terus memelihara keharmonian dan perpaduan yang menjadi asas kekuatan masyarakat majmuk di Sarawak.

Tambah beliau, sambutan perayaan Gawai Dayak setiap tahun merupakan lambang perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.– EDISI UKAS