KAPIT: Sebuah lagi inisiatif pembangunan luar bandar menjadi kenyataan apabila Pasar Terabai Kapit telah dirasmikan pada Isnin.
Pasar tersebut dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam satu majlis yang berlangsung meriah dan teratur.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato Sri Alexander menegaskan bahawa pembinaan Pasar Terabai bukan sekadar menambah infrastruktur bandar, malah mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekonomi rakyat luar bandar.
“Pasar ini adalah nadi ekonomi setempat yang menyediakan ruang niaga yang selesa dan selamat, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat,” ujarnya.
Jelasnya, pasar ini dibina khas untuk menggantikan peniaga-peniaga tepi jalan, dengan menyediakan ruang berniaga mengikut kategori peniaga tetap dan harian.
Beliau turut memuji inisiatif Majlis Daerah Kapit dalam menyusun semula kawasan bandar demi keselesaan dan kebersihan persekitaran.
Sebagai Menteri Persekutuan, beliau turut menyatakan sokongan terhadap peniaga kecil melalui pelbagai program kerajaan seperti skim pinjaman mikro, latihan keusahawanan dan sokongan teknikal agar mereka mampu berdaya saing.
Sehubungan itu, beliau menyeru para peniaga supaya menjaga kebersihan, mematuhi peraturan serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.
Upacara simbolik perasmian turut diadakan dengan penandatanganan plak dan pemotongan riben, diikuti lawatan ke sekitar pasar dan sesi ramah mesra bersama para peniaga.
Para peniaga menyambut baik kemudahan baharu ini yang menurut mereka lebih tersusun, bersih dan kondusif untuk menjalankan perniagaan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Wilson Nyabong Ijang; ADUN Baleh, Nicholas Kudi; Pengerusi Majlis Daerah Kapit, Ir. Andy Lawrence; Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit serta pemimpin tempatan dan komuniti setempat.-EDISI UKAS