Lawas Bakal Jadi Hab Keju Susu Kerbau Terbesar Negara, Lonjakan Baru Industri Tenusu Malaysia

Disiarkan pada 13 May 2025
Sumber Berita: UKAS


LAWAS: Lawas kini berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai hab pengeluaran keju berasaskan susu kerbau terbesar di Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam industri tenusu negara.

Keyakinan ini disuarakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail semasa lawatan kerja beliau ke Stesen Kerbau Maragang di sini, pada Selasa.

Menurutnya, projek pembangunan stesen ini yang kini memasuki fasa akhir, merupakan pemacu utama transformasi sektor tenusu di wilayah utara Sarawak.

Ujar beliau, dengan siapnya infrastruktur seperti stesen feedlot, kilang keju, kuarters pekerja dan gudang simpanan, Lawas bersedia untuk memulakan operasi berskala penuh dalam masa terdekat.

“Projek ini bukan sahaja menyokong agenda sekuriti makanan negeri, malah mempunyai potensi besar menjadikan Lawas sebagai pusat pengeluaran keju susu kerbau utama di negara ini, bahkan mungkin di peringkat rantau,” katanya.

Tambah beliau, faktor seperti kesesuaian iklim, sokongan kerajaan Sarawak dan Persekutuan, serta kerjasama erat antara agensi teknikal dan pemain industri memberi kelebihan strategik kepada Lawas untuk muncul sebagai pengeluar utama produk tenusu ‘niche’ yang bernilai tinggi di pasaran.

Katanya, salah satu komponen kritikal yang sedang disiapkan ialah penyambungan bekalan elektrik ke kilang keju yang dijangka selesai menjelang Jun ini sekaligus menjadi penentu kepada pelancaran operasi sepenuhnya.

Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; wakil-wakil dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agrobank dan syarikat pelaksana projek, Maragang GreenValley Dairy Sdn. Bhd.

Inisiatif ini bukan sahaja berimpak tinggi dari segi ekonomi, malah dijangka mewujudkan peluang pekerjaan baharu, merangsang aktiviti hiliran, serta menarik pelaburan dalam bidang pemprosesan makanan dan agropelancongan di kawasan pedalaman. -EDISI UKAS