MoU Sarawak Petchem–HighChem, Perkukuh Peralihan kepada Industri Hijau

Disiarkan pada 13 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak dengan bangganya mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara entiti milik kerajaan, Sarawak Petchem Sdn. Bhd dan HighChem Co., Ltd. (HighChem), sebuah syarikat pengeluar dan perdagangan kimia bertaraf global yang beribu pejabat di Tokyo, Jepun.

MoU tersebut dimeterai pada 9 Mei 2025, manakala majlis pertukaran dokumen berlangsung hari ini sempena Forum Ekonomi Hidrogen yang disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Perjanjian ini menandakan satu langkah penting dalam merealisasikan visi strategik Sarawak ke arah pembangunan industri hiliran serta komitmennya yang berterusan terhadap kelestarian alam sekitar.

Menyedari kelebihan Sarawak yang kaya dengan sumber gas asli serta kapasiti jana kuasa hidro sebanyak 3.5 GW, Kerajaan Sarawak telah merangka peta hala tuju gas untuk menarik pelaburan global dalam sektor industri hiliran yang bernilai tambah.

Langkah proaktif ini menjadikan Sarawak destinasi utama bagi syarikat-syarikat inovatif yang ingin memanfaatkan sumber tenaga ini secara bertanggungjawab.

Kerjasama strategik bersama HighChem adalah sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk memperkukuh pertumbuhan ekonominya secara mampan.

Teknologi SEG® yang dibangunkan oleh HighChem, yang membolehkan pengeluaran etilena glikol daripada gas sintesis, telah dikenal pasti sebagai pemacu utama dalam menyokong matlamat kelestarian negeri.

Usaha sama ini akan merangkumi pembangunan dan pembinaan sebuah loji berteknologi tinggi di Kompleks Perindustrian Petrokimia Bintulu.

Keistimewaan projek ini terletak pada pelan jangka panjangnya.

Walaupun pada peringkat awal loji akan menggunakan gas sintesis berasaskan gas asli, ia direka bentuk untuk beralih kepada penggunaan hidrogen hijau yang dihasilkan melalui tenaga hidro boleh diperbaharui Sarawak serta karbon dioksida yang diperoleh daripada biojisim.

Pendekatan berpandangan jauh ini akan membolehkan pengeluaran “etilena glikol hijau”, iaitu bahan mentah penting bagi penghasilan poliester, sekali gus mengurangkan jejak karbon dalam industri berkenaan.

Kerajaan Sarawak komited untuk memanfaatkan sumber asli negeri ini secara mampan demi menjamin kemakmuran ekonomi jangka panjang tanpa menjejaskan alam sekitar untuk generasi akan datang.

Peta hala tuju gas strategik serta pelaburan aktif dalam tenaga boleh diperbaharui telah meletakkan asas kukuh untuk kerjasama seperti ini bersama HighChem.

Kerajaan negeri mengiktiraf keunikan teknologi SEG® mereka serta komitmen terhadap pembangunan penyelesaian kimia hijau yang sejajar dengan visi Sarawak ke arah pertumbuhan industri mampan.

Kerjasama ini bukan sahaja bakal mewujudkan peluang ekonomi, malah akan mengangkat Sarawak sebagai peneraju dalam pengeluaran kimia hijau.

Kerjasama ini juga menyokong usaha berterusan Sarawak dalam bidang penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), pengeluaran hidrogen hijau serta penjanaan tenaga daripada biojisim.

Menerusi penerapan teknologi inovatif dan jalinan kerjasama bersama syarikat terkemuka seperti HighChem, Sarawak terus mempercepatkan langkahnya ke arah masa depan yang lestari dan makmur.-EDISI UKAS