Yang di-Pertua Negeri Sarawak Rakam Takziah Atas Pemergian Sembilan Anggota FRU

Disiarkan pada 13 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan ucapan takziah dan rasa dukacita kepada keluarga sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Perak, pagi Selasa.

“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita selama-lamanya. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin dan syuhada,” kata Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dalam satu kenyataan pada Selasa.

“Saya dan Toh Puan merakamkan salam takziah serta simpati kepada seluruh ahli keluarga mangsa.

"Semoga mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian berat ini serta dipermudahkan segala urusan yang mendatang,” tambah beliau.

Bagi mangsa yang mengalami kecederaan, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan turut mendoakan agar mereka diberikan kesembuhan segera dan dapat kembali menjalankan tugas demi negara.

Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat dan pihak berkuasa atas tindakan pantas serta komitmen mereka dalam menguruskan insiden berkenaan.

“Adalah penting untuk aspek keselamatan terus diberi keutamaan dalam setiap tugasan anggota keselamatan pada masa akan datang.

"Pihak berkuasa juga disaran agar menjalankan siasatan terperinci dan mengambil langkah-langkah penambahbaikan sewajarnya bagi mengelakkan tragedi seumpama ini daripada berulang,” ujar beliau.-EDISI UKAS