KUCHING: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju tenaga bersih serantau dengan melancarkan Sarawak Hydrogen Economy Roadmap 2035.
Dilancarkan semasa Forum Ekonomi Hidrogen 2025 (H2EF 2025), pelan hala tuju ini dirangka untuk memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai kuasa besar hidrogen bersih di Asia Tenggara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam ucapan dasarnya pada program itu menekankan komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan empat hab tenaga strategik sebagai teras kepada transformasi tenaga hijau Sarawak.
Menurutnya, ia meliputi tenaga boleh diperbaharui, gas asli, penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) serta hidrogen.
“Hab-hab ini bukan sekadar pelaburan tenaga, tetapi merupakan asas kepada masa depan ekonomi Sarawak yang mampan, berdaya saing dan berimpak tinggi,” ucapnya di hadapan pemimpin industri, pakar tenaga dan pelabur serantau semasa program itu pada Selasa.
Sementara itu, beliau menambah, Sarawak kini berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai hab tenaga serantau melalui pembangunan empat komponen strategik yang membentuk teras transformasi tenaganya.
Jelasnya, hab tenaga boleh diperbaharui memanfaatkan kekayaan sumber seperti hidro, suria dan biojisim, yang bukan sahaja menyumbang kepada keperluan domestik, malah telah pun dieksport ke Kalimantan Barat.
"Usaha sedang giat dijalankan untuk meluaskan jaringan sambungan tenaga ini ke Sabah, Brunei, Semenanjung Malaysia dan Singapura," ujarnya.
Dalam masa yang sama katanya, Hab Gas Asli menyaksikan Sarawak memanfaatkan hampir 60 peratus daripada keseluruhan rizab gas Malaysia melalui pembangunan empat hab utama di Miri, Bintulu, Samalaju dan Kuching, sejajar dengan pelaksanaan Pelan Jalan Gas Sarawak yang menyokong keperluan industri dan pasaran eksport.
Tambah beliau lagi, Sarawak turut mengorak langkah sebagai peneraju dalam teknologi Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS), dengan lebih 65 peratus potensi penyimpanan karbon Malaysia terletak di negeri ini.
Sementara itu, Premier Sarawak turut mengumumkan Hab Hidrogen yang merangkumi dua projek mega iaitu H2ornbill dan H2biscus yang kini sedang melalui fasa reka bentuk kejuruteraan dan dijangka siap hujung tahun ini.
Katanya, sebuah lagi hab baharu juga sedang dirancang di Kuching yang dijangka memperkukuh lagi ekosistem hidrogen di negeri ini.
Dalam ucapan sama, Premier Sarawak turut mengumumkan pencapaian penting yang meletakkan negeri ini sebagai perintis kawal selia industri hidrogen di rantau ini apabila meluluskan pindaan kepada Ordinan Pengagihan Gas merangkumi aktiviti berkaitan hidrogen secara khusus.
"Undang-undang yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2025 ini memberi kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk melantik pengawal selia industri, menggubal garis panduan keselamatan, dan menetapkan kadar atau caj ke atas operasi hidrogen.
"Langkah berani ini saya sifatkan Sarawak sebagai satu tonggak penting dalam memperkukuh keyakinan pelabur dan memastikan pembangunan industri hidrogen berlangsung secara selamat, teratur dan mampan," tambah beliau.
Sementara itu, Sarawak juga bakal menganjurkan semula Asia Pacific Green Hydrogen Conference & Exhibition (APGH) pada 9 hingga 11 Jun 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), dengan penganjuran yang dijangka lebih besar dan berimpak tinggi, melibatkan penyertaan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.
Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Hazland Abang Hipni; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden; Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr. Jerip Susil; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak, Datuk Malcolm Mussen Lamoh; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali; Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata.-EDISI UKAS