KUCHING: Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam usaha membina masa depan yang lebih hijau dan lestari menerusi pelaksanaan teknologi pembinaan mampan dan penggunaan tenaga boleh baharu.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini termasuk berfikir semula cara membina yang bukan sahaja sekadar struktur, tetapi sistem pembinaan yang tidak berkisar kepada kemudahan tetapi masa depan.
"Ini bukan sekadar membina bangunan, tetapi membina industri pembinaan yang mampan sepanjang rantaian nilai dan ekosistem industri, serta memastikan kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan sumber asli Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam International Construction Week (ICW) Borneo 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Selasa.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, pemilihan tapak yang bertanggungjawab juga menyokong biodiversiti, mengelak kawasan banjir dan mengurangkan kebergantungan kepada kereta dengan menyediakan akses kepada pengangkutan awam.
Ujarnya, pemilihan tapak pembinaan bukan sahaja membentuk persekitaran fizikal persekitaran malah juga menentukan nilai dan aspirasi kelestarian Sarawak.
Selain itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu menekankan peranan teknologi digital, termasuk penggunaan BIM (Building Information Modelling) dan IBS (Sistem Binaan Berindustri).
"Sarawak menggalakkan penggunaan teknologi seperti BIM dan IBS serta automasi dan robotik dalam pembinaan.
"Teknologi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah mengurangkan sisa pembinaan dan meningkatkan keselamatan tapak," jelasnya. -EDISI UKAS