KAPIT: Projek pembangunan yang telah dirancang dan dijanjikan tidak boleh dibiarkan tergantung tanpa tindakan susulan, sebaliknya mesti dilaksanakan dengan segera dan penuh tanggungjawab.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menegaskan bahawa komitmen untuk merealisasikan projek pembangunan memerlukan pelaksanaan pantas dan kerjasama erat daripada semua pihak yang terlibat.
“Setiap lawatan ke lapangan tidak harus berakhir setakat kunjungan semata-mata. Ia mesti disusuli dengan tindakan dan perubahan yang dapat dirasai oleh masyarakat.
“Apa yang dirancang dan dijanjikan perlu dilaksanakan segera tanpa penangguhan,” tegas beliau semasa berucap dalam Majlis Merarau Sempena Lawatan Kedua beliau ke Bahagian Kapit, bertempat di Rahmat Cafe, Hotel Meligai Kapit pada Selasa.
Menurut beliau, Bahagian Pembangunan (BD) telah diarahkan untuk segera melaksanakan projek-projek yang telah dikenal pasti bagi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat dalam tempoh yang singkat.
“Setiap agensi berkaitan perlu memainkan peranan secara aktif dan bekerjasama secara menyeluruh. Tiada ruang untuk kelewatan. Kita perlu bertindak sebagai satu pasukan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk wakil rakyat, penjawat awam dan komuniti setempat seperti Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) atas komitmen tinggi yang telah ditunjukkan.
Tambah beliau, lawatan kerja ke daerah-daerah lain akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah memastikan kesinambungan pelaksanaan dan pemantauan projek pembangunan negeri.
“Wakil rakyat mencadangkan projek, manakala penjawat awam bertanggungjawab melaksanakannya. Oleh itu, amat penting untuk semua penjawat awam bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Jefferson Jamit Unyat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang; ADUN Katibas, Lidam Assam; ADUN Baleh, Nicholas Kudi; Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit; Pegawai Daerah Kapit, Cerisologo Sabut serta tetamu lain.-EDISI UKAS