Kerjasama Erat Antara RADDA & Agensi Pelaksana Pastikan Kelancaran Projek Pembangunan

Disiarkan pada 13 May 2025
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Kerjasama bersepadu dan komunikasi yang berterusan antara Agensi Pembangunan Delta Rejang (RADDA) serta agensi pelaksana amat penting dalam memastikan kelancaran projek pembangunan yang telah diluluskan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menegaskan bahawa setiap projek yang dirancang perlu dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan dengan komitmen tinggi daripada semua pihak berkaitan.

Menurutnya, dengan adanya koordinasi yang lebih kukuh antara RADDA dan semua agensi pelaksana, kelancaran projek pembangunan di Sarikei diharap dapat dipertingkatkan, sekaligus memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Beliau berkata demikian ketika sesi lawatan dan taklimat ke Pejabat Agensi Pembangunan Wilayah (RDA) yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Sarikei, Selasa lalu. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri lawatan kerja beliau ke sembilan Pejabat Agensi Pembangunan Wilayah (RDA) di seluruh Sarawak dari 5 hingga 16 Mei 2025.

Menurut Datuk Dr Abdul Rahman, lawatan ini bertujuan untuk berkenalan dengan pegawai serta kakitangan RDA, menilai prestasi pelaksanaan projek, serta mengenal pasti cabaran dan isu yang dihadapi di peringkat pelaksanaan. Sebagai langkah memperkasakan koordinasi dan pemantauan, beliau turut mengumumkan pembentukan sebuah Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh beliau sendiri. Jawatankuasa ini akan melibatkan semua agensi pembangunan wilayah serta agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU), Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), serta kementerian dan jabatan berkaitan.

Dalam perancangan pembangunan tahun 2025, sebanyak 25 projek akan mula ditender, dengan enam projek dijadualkan pada suku ketiga dan 19 projek pada suku keempat. Manakala menjelang tahun 2026, enam lagi projek akan mula ditender, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 31 projek di bawah RDA.

Projek-projek ini akan dilaksanakan oleh pelbagai agensi teknikal termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Jabatan Pertanian (DOA), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah.

Turut hadir dalam sesi taklimat ini ialah Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong dan Pegawai Tadbir Khas RADDA, Kelana Kipli.-EDISI UKAS