BINTULU: Kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar bukan lagi tanggungjawab satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan sinergi menyeluruh antara kerajaan, sektor industri, institusi pendidikan dan masyarakat.
Komitmen ini jelas dizahirkan menerusi pelancaran Program ‘River Recovery’ (R2) Bersama Sektor Industri sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025 di Sungai Plan, Bintulu, pada Selasa.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi yang menekankan bahawa kejayaan memulihara alam sekitar hanya boleh dicapai melalui kolaborasi berterusan antara semua pihak.
“Pemuliharaan alam sekitar bukan pilihan, tetapi satu keperluan kerana kita hanya ada satu bumi, dan tiada alternatif lain untuk hidup.
“Justeru, setiap sektor sama ada kerajaan, swasta mahupun komuniti perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjamin kelestariannya,” tegas beliau.
Dato Majang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju turut memuji kejayaan Sarawak dalam menyumbang 47 juta pokok kepada sasaran nasional 100 juta pokok, sekali gus memperkukuh imej negeri sebagai peneraju agenda hijau negara.
Beliau juga menyatakan bahawa kelestarian alam adalah antara teras utama dalam menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030.
Projek R2, yang dibiayai oleh Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB).
Ia bertujuan meningkatkan kesedaran sektor industri terhadap penjagaan sungai, membina data asas kualiti air dan memulihkan landskap menerusi penanaman pokok berasaskan penyelesaian semula jadi.
Sungai Plan dipilih sebagai lokasi projek disebabkan tahap pencemaran yang membimbangkan akibat pelepasan efluen dan pembuangan sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Justeru, gabungan kepakaran teknikal, dasar kerajaan dan sokongan industri dilihat sebagai pendekatan paling berkesan dalam menangani isu ini.
Sementara itu, Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari turut menyokong pendekatan ini dengan menegaskan bahawa pemulihan sungai merupakan pelaburan jangka panjang dalam merealisasikan Bintulu sebagai Bandar Industri Rendah Karbon.
Turut hadir, ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming; Pengurus Kanan Safety, Health, Environment MLNG Sdn Bhd, Mohd Haidy Mohd Serian; Ketua Cawangan Jabatan Alam Sekitar Bintulu, Abdul Mazli Hafiz Abdul Malik; dan Ketua Pejabat Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Bintulu, Franklin Brandah Edward Thomas. -EDISI UKAS