Program Ngabang Gawai Bantu Perpaduan Pelbagai Kaum di Selangau

Disiarkan pada 12 May 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Majlis Ngabang Gawai Bersama Timbalan Premier Sarawak yang berlangsung meriah di Dinner World Restaurant, Bintulu, pada Ahad menjadi platform penting dalam menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum di kawasan DUN Kakus dan Parlimen Selangau.

Majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru (II) serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bersama isteri Datin Amar Dato Doreen Mayang.

Ucapan utama disampaikan oleh Datuk Amar Uggah Embas yang menekankan pentingnya sambutan Gawai sebagai wadah menyemai keharmonian antara kaum di Sarawak.

“Malam ini kita menyaksikan kehadiran masyarakat pelbagai etnik seperti Iban, Punan, Beketan, Orang Ulu, Melanau, Melayu dan Cina. Inilah keunikan Sarawak yang perlu kita pelihara,” ujar beliau.

Beliau turut menekankan usaha Kerajaan Sarawak dalam memperkenalkan lebih 130 inisiatif rakyat, termasuk Skim Insentif Kelahiran Anak Sarawak (SKAS) yang telah menerima peruntukan RM450 juta dan tambahan lebih RM100 juta daripada kabinet.

“Semua inisiatif ini adalah bagi memastikan rakyat Sarawak menikmati kemakmuran ekonomi sejajar dengan matlamat PCDS 2030,” tambahnya.

Menjelang pilihan raya akan datang, beliau turut menyeru rakyat agar terus menyokong wakil rakyat sedia ada yang terbukti berkhidmat dengan cemerlang di kawasan masing-masing.

Dalam majlis tersebut, lima buah sekolah angkat PBB menerima cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP), iaitu SK Iban Union, SK Sungai Bawang, SK Sungai Anak, SK Sungai Tau dan SK Ulu Arip, kesemuanya di Selangau.

Sebagai galakan terhadap kecemerlangan akademik, enam pelajar cemerlang SPM 2024 menerima insentif khas, manakala 10 pelajar menerima insentif untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dan 8 orang ke peringkat ijazah sarjana muda.

Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, serta acara tradisi seperti Pekit Main Asal Iban dan Pekit Ai Tuak yang mencerminkan kekayaan budaya masyarakat tempatan.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai dan isteri Datin Sri Melia Gelen, Pengerusi Pengelola Majlis merangkap Ketua Cawangan PBB Kakus, Nelson Mujah Giri serta barisan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, ADUN Machan Allan Siden Gramong, ADUN Katibas Lidam Assan, ADUN Jepak Iskandar Turkee dan Senator Micheal Mujah Lihan.-EDISI UKAS