Kerajaan Sarawak Tumpu Perhatian Terhadap Sektor Pendidikan

Disiarkan pada 14 May 2024
Sumber Berita: UKAS



SPAOH: Kerajaan Sarawak menumpukan perhatian kepada sektor pendidikan untuk membangunkan golongan belia yang mampu memimpin negeri.

Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu berkata, kerajaan negeri berhasrat memastikan segala prasarana khasnya di sekolah berada dalam keadaan yang baik.

“Kita ingin memastikan agar jurang di antara sekolah di bandar dengan yang di luar bandar dapat dikurangkan.

“Kerajaan Sarawak juga ingin melihat fasiliti yang setara dan seterusnya dapat melahirkan golongan cerdik pandai yang mampu memimpin negeri dan negara kita di masa akan datang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh Tahun 2024 baru-baru ini.

Dr Richard berkata, pelbagai perkara telah diusahakan oleh Kerajaan Sarawak di SMK Spaoh untuk memastikan keselesaan para pelajar dan warga sekolah.

Tambahnya, antara kerja yang dilaksanakan ialah dewan sekolah yang kini berhawa dingin selepas dilengkapi penyaman udara demi keselesaan semua dan pusat sumber telah siap dinaiktaraf melalui peruntukkan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM150,000.

“Manakala, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melakukan pemeriksaan untuk siasatan tapak bagi cadangan kerja-kerja naik taraf jalan di dalam kawasan sekolah.

“Baru-baru ini, melalui dana Projek Mesra Rakyat (PMR) telah dijalankan siasatan tapak projek naiktaraf gelanggang futsal SMK Spaoh dengan kelulusan RM50,000,” ujarnya.

Dalam majlis sama, beliau telah mengumumkan dana berjumlah RM20,000 daripada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan RM10,000 daripada beliau bagi membiayai kos aktiviti yang telah dirancang oleh pihak PIBG SMK Spaoh.

Turut hadir Pengetua SMK Spaoh Zaidi Jeni, Naib YDP PIBG SMK Spaoh Mahadir Seliman dan Penghulu Alem Ahi. -EDISI UKAS