KAPIT: Kapit Dayak Cultural Festival (KDCF) 3.0 telah berlangsung dengan penuh meriah dan berjaya di Town Square Kapit, menyaksikan kehadiran lebih daripada 400 pengunjung termasuk tetamu kehormat dari pelbagai lapisan masyarakat pada Ahad.
Program ini bertujuan untuk memperkasa dan merayakan warisan budaya Dayak, serta mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Bahagian Kapit.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Dalam ucapannya, Dato Sri Alexander menekankan kepentingan mengekalkan budaya tradisi kaum Iban dan etnik-etnik lain di Bahagian Kapit yang menjadi identiti penting masyarakat setempat.
Beliau turut menyeru agar komuniti agar terus melestarikan warisan budaya, kerana sebuah masyarakat yang kaya dengan adat resam dan budaya dihormati dan dihargai oleh masyarakat lain.
Dato Sri Alexander juga menekankan fokus program ini yang turut memberi perhatian kepada aspek sosial ekonomi masyarakat Kapit, dengan menyokong perniagaan tradisional seperti jualan makanan dan kuih muih tempatan.
Selain itu, beliau turut mengumumkan pembinaan Dataran Bujang Berani, sebuah dataran yang lebih luas dan akan menjadi pusat kegiatan masyarakat di masa depan.
Upacara perasmian dimulakan dengan ritual Miring, diikuti oleh para tetamu kehormat, yang diketuai oleh Dato Sri Alexander.
Sebanyak 15 kontinjen dari pelbagai komuniti di Kapit turut mengambil bahagian dalam program Niti Daun, menerima hadiah RM1000 setiap kumpulan sebagai pengiktirafan atas sumbangan mereka.
Program ini turut dipenuhi dengan persembahan kebudayaan yang memukau, termasuk tarian tradisional, muzik sape, dan pameran pakaian etnik yang mencerminkan kekayaan budaya Dayak, khususnya di Bahagian Kapit.
Majlis ini bukan sahaja menjadi wadah untuk merayakan budaya, tetapi juga menjadi satu platform bagi masyarakat untuk bersatu dan terus berkembang.
KDCF 3.0 telah menjadi satu kejayaan besar dalam mengekalkan dan mempromosikan identiti budaya Dayak, serta mempererat hubungan antara pelbagai etnik di Kapit.-EDISI UKAS