Atlet Sarawak Raih Pingat Gangsa Di Kejohanan Para Badminton Antarabangsa Fazza Dubai 2025

Disiarkan pada 12 May 2025
Sumber Berita: UKAS


DUBAI: Atlet para badminton Sarawak, Nurzammietul Syafiqqah Mohamad Zamberi mengharumkan nama negeri ini apabila berjaya meraih pingat gangsa dalam acara beregu campuran pada Kejohanan Para Badminton Antarabangsa Fazza Dubai Edisi Keenam yang berlangsung dari 9 hingga 11 Mei 2025.

Turut mewakili skuad kebangsaan Malaysia, pencapaian cemerlang Shafiqqah menyumbang kepada kutipan keseluruhan kontinjen negara iaitu tiga pingat emas, satu perak dan empat gangsa, sekali gus membuktikan keupayaan pasukan para badminton negara di pentas antarabangsa.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah yang turut hadir menyaksikan kejohanan tersebut, melahirkan rasa bangga atas kejayaan yang dicapai oleh atlet Sarawak.

“Kejayaan ini membuktikan kemajuan Sarawak dalam bidang sukan para hasil pelaburan berterusan dalam program pembangunan dan latihan untuk atlet berkeperluan khas.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian Shafiqqah, Ashley Irenaeus serta seluruh pasukan kebangsaan. Prestasi mereka mencerminkan dedikasi, ketabahan dan semangat kesukanan yang tinggi,” katanya.

Kejohanan yang berlangsung di Shahab Al Ahli Club, Dubai itu menyaksikan penyertaan seramai 14 pemain daripada skuad kebangsaan, di samping kehadiran atlet para badminton dari pelbagai negara.

Kejohanan ini dianjurkan oleh Dubai Club for People of Determination dan menjadi medan penting bagi meraikan kecemerlangan serta menggalakkan keterangkuman dalam sukan para.

Dato Sri Fatimah turut menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak untuk terus menyokong dan memperkasa atlet para negeri agar terus cemerlang di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.-EDISI UKAS