KUCHING: Presiden Persatuan Sukan Permotoran Negeri Sarawak (SMA), Senator Dato’ Ahmad Dato’ Sri Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan sukan permotoran tidak hanya tertumpu kepada pelumba semata-mata.
Sebaliknya ujar beliau, ia perlu diperluaskan kepada marshal, jurulatih dan pegawai teknikal yang menjadi tulang belakang kelancaran perlumbaan.
Berucap pada majlis penutupan Kursus Asas Marshal Perlumbaan Negeri Sarawak 2025 di Litar Sementara Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) pada Ahad, beliau turut mengingatkan bahawa pelumba juga wajar mengambil peluang meningkatkan ilmu dan kemahiran sebagai persediaan kerjaya selepas bersara daripada dunia perlumbaan kompetitif.
“Racer pun perlu mengambil kesempatan untuk menambah ilmu untuk masa depan sekiranya sudah tidak berlumba secara kompetetif,” katanya.
Kursus anjuran SMA dengan kerjasama Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBS) itu disertai seramai 35 peserta dari Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
Menurut beliau, peranan marshal tidak harus dipandang ringan kerana mereka adalah ‘mata dan telinga penganjur’ yang memastikan aspek keselamatan dan kelancaran sepanjang perlumbaan.
“Kita sering terpesona dengan kelincahan pelumba dan kehebatan jentera, tetapi marshal adalah ‘wira tidak didendang’ dalam dunia permotoran,” ujar beliau lagi.
Kursus intensif selama dua hari itu merangkumi latihan teori dan praktikal seperti sistem bendera, komunikasi kecemasan serta simulasi litar.
Peserta yang lulus akan menerima Lesen Marshal rasmi daripada MAM dan sijil daripada JBS, manakala peserta lain diberikan Sijil Kehadiran dan digalakkan mencuba semula.
Senator Dato’ Ahmad turut menyentuh inisiatif pembangunan sukan permotoran di Sarawak termasuk rancangan pembinaan litar tetap di Gedong seperti diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sebelum ini.
“Ini bukan sahaja peluang untuk menganjurkan kejohanan bertaraf tinggi, malah membuka ruang pekerjaan, latihan dan pembangunan profesional untuk marshal serta tenaga kerja tempatan,” katanya.
Beliau optimis ramai peserta kursus ini akan terlibat dalam acara utama tahun ini seperti Borneo Star Drift Battle, Borneo Extreme Motocross Challenge dan beberapa lagi perlumbaan yang dalam perancangan termasuk Drag Race, Go Kart dan 4x4 Challenge.
“SMA komited melahirkan tenaga kerja sukan permotoran bertauliah yang bukan sahaja bersedia di peringkat negeri, tetapi juga kebangsaan dan serantau,” tambahnya.-EDISI UKAS