Ulang Tahun Ke-5 Klan Chang Simanggang Kukuhkan Perpaduan dan Persefahaman Antara Ahli

Disiarkan pada 11 May 2025
Sumber Berita: UKAS


SIMANGGANG: Semangat perpaduan dan jalinan persefahaman antara ahli komuniti terus diperkukuh melalui Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Persatuan Klan Chang Simanggang yang berlangsung meriah di Hotel Seri Simanggang, Sabtu lalu.

Majlis yang menghimpunkan kira-kira 400 tetamu dari seluruh Sarawak dan Sabah itu bukan sahaja meraikan ulang tahun persatuan, malah menjadi wadah penyatuan komuniti menerusi semangat kekeluargaan dan kerjasama erat.

Dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, majlis itu turut menyaksikan pelantikan jawatankuasa baharu bagi sesi 2024–2026 yang dipimpin oleh Chong Kui Min sebagai Pengerusi.

Dalam ucapannya, Datuk Francis menekankan pentingnya persatuan seperti Klan Chang sebagai jambatan silaturahim yang merentasi geografi dan perbezaan latar belakang, demi mencapai kesejahteraan bersama.

“Halatuju berpersatuan adalah sebagai platform sekumpulan orang yang sama fahaman untuk mengeratkan perhubungan sesama ahli, di samping bersedia membantu ahli dalam aspek kebajikan, ekonomi dan kemajuan pendidikan agar boleh bersama maju dalam kehidupan,” katanya.

Sebagai sokongan kepada usaha murni persatuan, beliau turut meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Klan Chang Simanggang bagi memperkasa lagi peranan mereka dalam komuniti.

Turut hadir menyemarakkan suasana, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor; Presiden Kehormat Persekutuan Klan Chang Sarawak, Tan Sri Datuk Tiong Su Kuok; Pengerusi Persekutuan Klan Chang Sarawak, Tiong Chiong Hua; dan Pengerusi Persekutuan Klan Chang Sabah, Chong Tet Fook.

Majlis bersejarah ini bukan sahaja menandakan kejayaan lima tahun penubuhan persatuan, malah mencerminkan komitmen ahli Klan Chang dalam membina jaringan sosial yang utuh, memperkukuh perpaduan, dan memelihara nilai kekitaan demi masa depan yang lebih cemerlang.