Program Jiwa @ Komuniti Madani Sambut Perayaan Pra-Gawai 2025

Disiarkan pada 11 May 2025
Sumber Berita: UKAS


TATAU: Program Jiwa @ Komuniti Madani yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Daerah Tatau sempena sambutan Pra-Gawai 2025 berjaya menarik perhatian lebih 400 penduduk setempat di Rh Dayat Anak Puso, Jalan Sibu Bintulu, Tatau pada Sabtu.

Dalam ucapan perasmian, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, menekankan bahawa pendidikan merupakan fokus utama kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap anak Sarawak mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

“Pada awal tahun 90-an, kami sudah menggalakkan setiap rumah panjang untuk melahirkan graduan. Kini, dengan kemajuan pendidikan, tidak mustahil bagi setiap keluarga melahirkan bukan sahaja graduan, tetapi juga jutawan,” katanya.

Dato Sri John Sikie juga berkongsi kejayaan program pendidikan yang semakin berkembang, di mana kini banyak keluarga mampu melahirkan lebih dari satu graduan, bahkan dalam beberapa kes, semua anak dalam sebuah keluarga berjaya memperoleh ijazah.

Beliau turut mengaitkan pencapaian ini dengan pentingnya pendidikan tinggi dan ilmu pengurusan kewangan untuk mencapai kejayaan kewangan.

Selain itu, sambutan Gawai Dayak juga dianggap sebagai detik untuk mengeratkan silaturahim antara komuniti, di mana banyak penduduk yang pulang ke kampung halaman untuk merayakan perayaan tersebut.

Program ini turut diserikan dengan pelbagai pengisian bermanfaat, termasuk demonstrasi kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, ceramah mengenai keselamatan oleh Amanita (PDRM), serta ceramah pertanian oleh Jabatan Pertanian.
Pemeriksaan kesihatan, pameran dan jualan produk kraftangan dan hasil tani turut diadakan untuk manfaat penduduk setempat.

Majlis ini turut diserikan dengan persembahan kebudayaan yang memperlihatkan kekayaan tradisi masyarakat setempat, sambil dihidangkan dengan kuih-muih tradisional, menambah lagi kemeriahan program yang bertujuan untuk memelihara dan mengeratkan hubungan sesama masyarakat.

Dengan kejayaan acara ini, Program Jiwa @ Komuniti Madani jelas menunjukkan komitmen kerajaan Sarawak untuk terus memajukan komuniti dan memastikan setiap warga mendapat akses kepada ilmu serta peluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka.-EDISI UKAS