Sumbangan Komputer Riba Suntik Semangat Pelajar Kejuruteraan Elektrik Dari Luar Bandar

Posted on 11 May 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Prihatin terhadap keperluan pendidikan pelajar luar bandar, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala telah menyerahkan sumbangan komputer riba kepada seorang pelajar jurusan kejuruteraan, sebagai dorongan terhadap kejayaan akademiknya.

Majlis ringkas itu berlangsung di Pusat Khidmat Mulu, di sini dengan kehadiran pelajar terlibat, Daniel Junior Luhat Stephen, yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik di Institut Kemahiran Teknologi (i-Cats).

Dalam pertemuan itu, Daniel menyuarakan keperluannya untuk memiliki sebuah komputer riba sebagai peralatan penting dalam menyokong pembelajaran teknikal dan tugasan akademik.

“Saya berharap sumbangan ini bukan sahaja meringankan beban Daniel, tetapi menjadi pemangkin untuk beliau mencapai kecemerlangan dan seterusnya menyumbang kembali kepada masyarakat,” ujar Datuk Gerawat.

Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan merupakan aset terpenting dalam membina masa depan, dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan anak-anak dari kawasan pedalaman tidak tercicir dari arus pembangunan.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Pusat Khidmat Mulu dalam memperkasakan pelajar luar bandar dengan sokongan yang relevan, sama ada dari segi kemudahan asas, bimbingan akademik, atau motivasi berterusan.

Sumbangan seumpama ini mencerminkan keprihatinan wakil rakyat terhadap akses pendidikan berkualiti serta keperluan digital yang semakin penting dalam landskap pembelajaran masa kini.-EDISI UKAS