Karnival AGG Sarawak 2025 Cungkil Bakat Baru Sukan Gimnastik

Posted on 10 May 2025
Source of News: UKAS



KUCHING: Karnival Gimnastik Berkumpulan Estetik (AGG) Sarawak 2025 yang berlangsung pada 10 hingga 11 Mei 2025 di Dewan Sa’ati, Ibu Pejabat SUPP, Kuching membuka tirai dengan penuh semangat menerusi penyertaan lebih 70 gimnas berusia antara 4 hingga 25 tahun pada Sabtu.

Program ini menampilkan dua acara utama peringkat kebangsaan iaitu Pertandingan Program Pembangunan AGG Kebangsaan (NAD) pada hari Sabtu dan Bengkel Pengenalan Program Sekolah AGG pada hari Ahad.
Melalui kedua-dua program ini, karnival berperanan bukan sekadar medan pertandingan tetapi juga sebagai landasan pembangunan bakat muda, terutamanya anak Sarawak.

Hari Sabtu menyaksikan saingan sengit di bawah Pertandingan Program NAD, dengan gimnas bertanding dari peringkat Kinder AGG hingga ke Tahap 6 mengikut Buku Panduan Teknikal NAD.

Antara kelab yang mengambil bahagian ialah Kickstart Gymnastics (Selangor), Mine Dance Studio, Spade Team AGG Club dan Track & Dance, ketiga-tiganya dari Sarawak, memperlihatkan sinergi antara negeri dan kemunculan bakat-bakat baru tempatan.

Persembahan yang dipamerkan menyerlahkan kemahiran, ketangkasan serta keanggunan yang menjadi teras AGG, sekali gus menunjukkan kemajuan signifikan dalam pembangunan gimnas Sarawak.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Kho Teck Wan.
Keesokan hari pula terdapat Bengkel Pengenalan Program Sekolah AGG yang dikendalikan oleh Ketua Teknikal Program Sekolah MAGGA, Foong Seow Ting.

Bengkel ini bertujuan memperkenalkan AGG di peringkat sekolah rendah dan menengah di Sarawak melalui modul praktikal bagi kategori bawah 10, bawah 12 dan bawah 18.

Majlis penyampaian sijil akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang, sebagai tanda penghargaan kepada para pendidik, jurulatih dan peserta yang menyumbang kepada perkembangan AGG di peringkat sekolah. -EDISI UKAS