121 Pelajar Dayak Cemerlang Dirai, Bukti Keunggulan Akademik & Harapan Masa Depan

Disiarkan pada 10 May 2025
Sumber Berita: UKAS



MIRI: Seramai 121 pelajar Dayak cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2023 dan 2024 menerima pengiktirafan istimewa dalam Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Dayak Cemerlang 2025 yang berlangsung di Universiti Curtin Malaysia, Miri pada Sabtu.

Majlis anjuran Jawatankuasa Perayaan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Miri ini dirasmikan oleh Kaunselor Samuel Liwat yang mewakili Ahli Parlimen Baram, Datuk Anyi Ngau.

Di kesempatan itu, Kaunselor Samuel menzahirkan ucapan tahniah kepada para pelajar, ibu bapa dan guru atas pencapaian yang membanggakan.

Beliau menekankan bahawa kejayaan ini adalah bukti kesungguhan, kerja keras serta sokongan padu komuniti Dayak terhadap pendidikan.

“Kejayaan hari ini bukanlah titik akhir, tetapi permulaan kepada perjalanan lebih mencabar. Teruslah berusaha dan cipta kejayaan yang lebih besar,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar ibu bapa memperkukuhkan kerjasama dengan sekolah dalam membentuk generasi Dayak yang berilmu, berdaya saing dan mampu membawa nama bangsa ke persada dunia.

Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan pendidikan komuniti Dayak, Datuk Anyi turut mengumumkan sumbangan dana sebanyak RM10,000 bagi memperkukuh program Pendidikan Dayak Cemerlang pada masa akan datang.

Majlis ini menyaksikan pelajar dari pelbagai sekolah sekitar Miri menerima anugerah, sekaligus memberi suntikan semangat kepada generasi muda untuk terus mengejar kecemerlangan akademik. -EDISI UKAS