KUCHING: Sambutan Hari Ibu yang disambut seluruh dunia pada 11 Mei setiap tahun merupakan wadah untuk mengenang, menghargai malah mensyukuri segala pengorbanan insan yang bergelar ibu.
Sempena sambutan kali ini, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada seluruh kaum ibu di Malaysia, khususnya di Sarawak.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri menyifatkan pengorbanan seorang ibu amat signifikan terutamanya dalam membentuk sahsiah, karakter serta nilai-nilai murni dalam diri anak-anak.
“Melalui asuhan dan kasih sayang seorang ibu, lahirlah individu berilmu, berintegriti, berdaya saing yang mampu memimpin negara ke arah kemajuan dan kesejahteraan.
“Sejarah membuktikan bahawa di setiap pemimpin yang hebat, ada seorang ibu yang menjadi sumber kekuatan dan inspirasi. Rumah tangga merupakan madrasah pertama, dan ibu adalah pendidik utama dalam membentuk acuan anak-anak.
“Justeru, pada hari yang penuh bermakna ini, saya dan Toh Puan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ibu atas jasa dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai,” ujar beliau dalam perutusan sempena sambutan Hari Ibu 2025 pada Sabtu.
Dalam kesempatan itu, beliau turut menyeru kepada masyarakat hari ini agar terus menghargai jasa ibu masing-masing bukan hanya pada hari istimewa ini, tetapi sepanjang hayat mereka.
“Saya dan Toh Puan percaya bahawa penghargaan kepada ibu bukanlah terhad pada tarikh tertentu, tetapi satu amalan berterusan yang menguatkan ikatan keluarga dan memelihara nilai-nilai murni dalam masyarakat,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS