KUCHING: Sarawak memerlukan seluas 17,500 hektar kawasan tanah baharu yang dilengkapi infrastruktur untuk mencapai tahap sara diri (SSL) 100 peratus.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, jumlah keluasan tanah boleh menghasilkan kira-kira 392,000 tan metrik padi.
Menurutnya, kementerian beliau telah mengenal pasti kawasan baharu untuk dilengkapi dengan tertiari infrastruktur dan kawasan ini akan memberi tumpuan terutamanya kepada penanaman daripada varieti padi hasil tinggi.
“Kawasan baharu itu terletak di Bahagian Sri Aman, Kapit, Mukah dan Limbang.
“Bagi meningkatkan pengeluaran padi, kerajaan juga perlu memulihkan dan menaik taraf beberapa Skim Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedia ada di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Tambah Dato Sri Dr Stephen, setakat 2023, jumlah pengeluaran padi di Sarawak adalah kira-kira 118,000 tan metrik atau 32 peratus SSL.
“Untuk mencapai SSL 60 peratus, sejumlah RM1.2 bilion diperlukan untuk mewujudkan dan menaik taraf infrastruktur padi yang terdiri daripada 4,500 hektar kawasan baharu dan 8,800 hektar Skim JPS sedia ada.
“Bagaimanapun, untuk mencapai 100 peratus SSL, 17,500 hektar kawasan baharu dan 8,800 hektar Skim JPS sedia ada diperlukan dengan anggaran kos RM4.68 bilion,” ujarnya.-EDISI UKAS