Tika Kala Dinobat Juara Battle Of The Bands Miri

Disiarkan pada 10 May 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Kumpulan muzik tempatan, Tika Kala, mencuri tumpuan selepas dinobatkan sebagai juara ‘Battle of the Bands’ sempena Program Bakti Madani Miri 2025: Sarawak Maju Makmur – Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) Ke Arah Pemerkasaan Rakyat yang berlangsung meriah di Stadium Tertutup Miri, pada Jumaat.

Tika Kala membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, menewaskan enam lagi kumpulan hebat dari Miri dan Bintulu yang turut bersaing sengit pada malam pertandingan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew yang turut memberikan sokongan penuh kepada bakat-bakat muda tempatan.

Menurut beliau, pertandingan seumpama ini memberi ruang dan peluang untuk belia menyerlahkan bakat serta membina keyakinan diri.

Sementara itu, gelaran naib juara pula dimenangi oleh NV Unity yang membawa pulang RM1,000, manakala tempat ketiga diraih oleh Sessonita, membawa pulang wang tunai RM500.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Ismawi Ismuni dan Pengarah Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi, Pejabat Perdana Menteri, Hatta Said. -EDISI UKAS