MIRDA, BIRDCOM Pemangkin Pembangunan Infrastruktur Di Kawasan Kakus

Disiarkan pada 10 May 2025
Sumber Berita: UKAS


SELANGAU: Agensi Pembangunan Tengah Rajang (MIRDA) dan Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Bintulu (BIRDCOM), diyakini mampu mempercepatkan agenda pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus yang meliputi bahagian Mukah, Bintulu dan Sibu dengan keluasan hampir 6,000 kilometer persegi.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, meskipun keluasan kawasan Kakus amat besar, kewujudan MIRDA dan BIRDCOM bakal menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan untuk memperkukuh pembangunan infrastruktur, terutamanya kemudahan asas seperti jalan raya yang baik.

“Tumpuan utama kita adalah menyediakan kemudahan asas. Selain itu, kita turut memberi perhatian kepada usaha membangunkan ekonomi rakyat melalui projek pertanian seperti tanaman kelapa sawit dan kopi di bawah MIRDA, yang mampu meningkatkan pendapatan keluarga,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Perasmian Biro Wanita Tinting Petai, di sini, pada Jumaat.

Menurut beliau, perubahan landskap pembangunan Sarawak pada hari ini merupakan hasil kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang disifatkan sebagai pintar dalam mencari sumber pendapatan baharu, yang seterusnya membolehkan pelbagai pembangunan infrastruktur dan inisiatif seperti pendidikan percuma dilaksanakan untuk rakyat.

Dalam perkembangan lain, Dato Sri John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus turut menggesa semua pihak agar terus bekerjasama bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek-projek pembangunan yang telah dirancang.

Hal ini susulan beberapa projek bekalan elektrik terbengkalai akibat isu kebenaran laluan tanah, termasuk dari syarikat perladangan kelapa sawit yang menuntut pampasan lebih tinggi daripada kadar yang ditetapkan kerajaan.

“Saya harap syarikat-syarikat perladangan ini dapat memberi kerjasama kerana projek ini memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk, malah kepada mereka juga yang menjalinkan kerjasama 'joint venture' dengan masyarakat tempatan dalam projek tanaman kelapa sawit,” katanya lagi.

Sebagai tanda sokongan, Dato Sri John Sikie turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM10,000 di bawah geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Biro Wanita Rumah Langi.

Turut hadir Pegawai Daerah Selangau, Yalin Asan dan Penghulu Dom Brok. -EDISI UKAS