Persiapan Program Bakti Madani 2025 Di Miri Berjalan Lancar

Disiarkan pada 10 May 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Persiapan bagi Program Bakti Madani 2025 yang bakal berlangsung di Stadium Bandaraya Miri dari 9 hingga 11 Mei ini dilaporkan berjalan lancar.

Keyakinan ini disuarakan susulan lawatan persediaan terakhir yang diketuai oleh Residen Bahagian Miri, Galong Luang, pada Jumaat.

Lawatan tersebut menjadi indikator jelas bahawa seluruh jentera pentadbiran dan agensi berkaitan telah bersedia sepenuhnya dari segi logistik, susun atur program serta aspek teknikal bagi memastikan kelancaran sepanjang tempoh tiga hari penganjuran.

Turut hadir dalam sesi lawatan ialah Pengarah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Juan Ubit bersama wakil-wakil daripada agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah Miri, Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri, Pejabat Pertanian Miri, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Miri, RECODA Miri dan Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Difahamkan, tinjauan kali ini membolehkan semua agensi menyelaras dan memperkemas pelaksanaan terakhir di lapangan, sekali gus menunjukkan tahap komitmen tinggi dalam memastikan pengalaman terbaik kepada pengunjung.

Program Bakti Madani Miri merupakan inisiatif kerajaan dalam menjalin hubungan erat bersama rakyat melalui pelbagai khidmat masyarakat, pemeriksaan kesihatan, penerangan dasar kerajaan serta aktiviti kemasyarakatan.

Majlis Perasmian dijadualkan berlangsung pada 10 Mei 2025 iaitu pada Sabtu, jam 10 pagi di Stadium Bandaraya Miri. -EDISI UKAS