MBM Serlah Perpaduan Kaum Melalui Karnival Ulang Tahun Bandar Raya Ke-20

Disiarkan pada 10 May 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Bandaraya Miri terus mengukuhkan kedudukannya sebagai simbol keharmonian budaya di Sarawak apabila Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengumumkan penganjuran Karnival Ulang Tahun ke-20 Bandaraya Miri, yang bakal berlangsung dari 16 hingga 25 Mei ini di Miri City Fan.

Bertemakan 'Perpaduan Pelbagai Kaum', karnival selama 10 malam ini dijangka menjadi platform utama untuk meraikan kepelbagaian budaya yang membentuk identiti Miri sebagai sebuah bandar raya yang inklusif dan progresif.

Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, karnival ini bukan sekadar acara sambutan ulang tahun, malah mencerminkan kekuatan sebenar perpaduan dan keharmonian antara kaum di Miri.

“Tema tahun ini dipilih untuk menonjolkan kekayaan budaya yang kita miliki dan bagaimana perbezaan itu menjadi sumber kekuatan dalam membina komuniti yang bersatu padu," katanya dalam sidang media, pada Jumaat.

Tambah Adam, selain menyediakan pameran kebudayaan, makanan pelbagai kaum dan aktiviti interaktif untuk semua lapisan masyarakat, karnival ini juga bakal menampilkan persembahan artis terkenal yang akan menghiburkan pengunjung termasuk Wany Hasrita, Baby Shima, Vanessa Reynauld dan Donny Lang.

Lebih istimewa, seluruh program ini ujarnya, dibuka secara percuma kepada orang ramai, sekali gus menjadikannya acara rakyat yang meraikan semua golongan tanpa mengira latar belakang.-EDISI UKAS