KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan pertemuan dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, bersama kepimpinan tertinggi PETRONAS dan PETROS di Perdana Putra, Putrajaya, semalam.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media dipetik sebagai berkata, pertemuan ini berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni berteraskan semangat Persekutuan.
Dalam pertemuan ini, Perdana Menteri dan Premier Sarawak telah bersetuju untuk memuktamadkan prinsip-prinsip asas dalam masa terdekat seperti yang dipersetujui sebelum ini untuk mempermudahkan rundingan antara PETRONAS dan PETROS.
Langkah ini penting bagi memastikan potensi besar yang telah dikenal pasti daripada kerjasama PETRONAS dan PETROS dapat diteroka secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan berkesan.
Ini termasuk menyegerakan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN.
Perdana Menteri dan Premier Sarawak juga mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan semua isu berbangkit sebelum ini melalui rundingan. -EDISI UKAS
Gambar: Pejabat Perdana Menteri