KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menganjurkan satu perhimpunan khas sempena Hari Pekerja Peringkat Negeri pada 18 Mei 2025 bertempat di Hikmah Exchange, Kuching.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, perhimpunan julung kalinya diadakan di peringkat negeri bagi meraikan sumbangan para pekerja pelbagai sektor di Sarawak.
Ujarnya, walaupun kebiasaannya Hari Pekerja disambut pada 1 Mei setiap tahun, perhimpunan di peringkat negeri ini dianjakkan ke tarikh yang lebih sesuai demi memastikan kelancaran acara dan penglibatan penuh pihak berkepentingan.
"Hari Pekerja memang 1hb Mei tetapi kerana masa tidak sesuai dan kita juga ingin supaya Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dapat hadir merasmi upacara itu, kita sudah tetapkan hari bulan perayaan ataupun perhimpunan bersempena Hari Pekerja itu adalah 18 Mei, dan tempatnya nanti akan kita buat di Hikmah Exchange.
"Kita dah jemput wakil-wakil dari majikan, wakil-wakil dari pekerja, persatuan pekerja, dan juga dari staf-staf perkhidmatan awam persekutuan dan negeri serta beberapa kesatuan-kesatuan sekerja," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual 'Juh Randau' anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Bangunan Baitulmakmur pada Jumaat.
Menurutnya, semasa sambutan itu nanti, pekerja sektor awam persekutuan, negeri dan swasta akan menerima pengiktirafan sebagai menghargai sumbangan mereka.
Malah beliau tidak menolak kemungkinan akan menjadikan sambutan tersebut sebagai acara tahunan.
Dalam pada itu, Datuk Gerawat Gala menambah, Kerajaan Sarawak juga memberi jaminan bahawa pindaan kepada Ordinan Buruh akan dikuatkuasakan secara menyeluruh bagi melindungi hak dan kebajikan pekerja di negeri ini, termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Ujarnya, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak akan memikul tanggungjawab penting dalam memastikan pelaksanaan dan penguatkuasaan semua pindaan ordinan telah ditetapkan yang berkuatkuasa 1 Mei.
"Kita percaya JTK Sarawak akan mengambil serius tanggungjawab untuk melaksanakan dan menguatkuasakan semua pindaan ini. Ini bertujuan untuk melindungi pekerja-pekerja kita yang sangat penting dalam proses pembangunan negeri kita.
"Sudah semestinya kini pekerja di Sarawak mendapat perlindungan yang lebih menyeluruh dan mereka juga bekerja dalam keadaan yang selamat dan tenang," ujar beliau.
Bagi mengatasi cabaran di kawasan luar bandar, kerajaan melalui JTK sedang giat melaksanakan program libat urus secara menyeluruh di seluruh negeri yang melibatkan pekerja, kesatuan sekerja serta pihak majikan, katanya.
Usaha ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab bersama dalam mematuhi peraturan dan undang-undang berkaitan pekerja.
Walaupun pemantauan 100% di semua lokasi agak sukar, mereka terus menggalakkan pekerja untuk tampil membuat laporan sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh majikan mereka.
Turut hadir Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta pegawai-pegawai kanan UKAS. -EDISI UKAS