KUCHING: Jika sebelum ini pertandingan bina badan begitu sinonim dengan peserta yang bertubuh ‘sado’ memperagakan otot mereka, kali ini Mr Keling Borneo International 2025 tampil dengan kelainannya yang tersendiri apabila ianya digabungkan dengan elemen kebudayaan, menjadikan pertandingan berkenaan acara pertama seumpamanya di Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, para peserta ini nanti akan mengenakan pakaian tradisional Iban, iaitu ‘Ngepan’.
Selain itu katanya, pelbagai persembahan kebudayaan selingan turut diadakan termasuklah ‘Miring’, persembahan ‘Sape’, gendang pampat, perarakan pakaian tradisional daripada Persatuan Dayak dan ‘Betaboh Ngajat’.
Pertandingan yang diadakan pada 16 dan 17 Mei depan setakat ini menerima lebih daripada 100 penyertaan, termasuk beberapa penyertaan dari luar negara seperti Brunei Darussalam, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Singapura.
“Penyertaan dari luar negara seperti ini sekaligus akan mempromosikan budaya di Sarawak kerana mereka akan dikenakan pakaian tradisional kita di sini.
“Selain berebut gelaran Mr Keling Borneo International 2025, dalam masa yang sama kita dapat menampilkan keunikan budaya kita melalui sukan bina badan, seterusnya menarik pelancong tempatan dan luar negara untuk menyaksikan gabungan unik budaya dan sukan.”
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi sidang media Mr Keling Borneo International 2025, di sini, pada Jumaat.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai Mr Keling Borneo International 2025 masih boleh membuat pendaftaran hingga 16 Mei ini, bertempat di Buda Gym Kota Samarahan.
Sementara itu, pihak penganjur iaitu Buda Gym dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) menawarkan hadiah yang lumayan dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM53,800, menjadikannya antara yang terbesar di Malaysia.
Difahamkan, kategori ‘bodybuilding’ bagi 70 kilogram (kg) ke bawah, 70 kg hingga 85 kg dan 85 kg ke atas menawarkan hadiah berjumlah RM5,000 bagi tempat pertama manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM3,000 dan RM1,000.
Manakala, tempat keempat dan kelima bagi kategori tersebut pula akan membawa pulang hadiah sebanyak RM700 dan RM500.
Bagi kategori ‘Men Sports Physique’ untuk 170 centimeter (cm) + 4 ke atas dan 170 cm + 4 ke bawah akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 selaku johan, RM1,000 selaku naib johan, RM700 untuk tempat ketiga manakala tempat keempat dan kelima masing-masing akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 dan RM300.
Sementara itu, kategori ‘Men Athletic Physique’ untuk 170 cm + 4 ke atas dan 170 cm + 4 ke bawah menawarkan hadiah RM3,000 buat pemenang tempat pertama, RM1,500 tempat kedua, RM800 di tempat ketiga manakala tempat keempat dan kelima masing-masing akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 dan RM300.
Kesemua kategori berkenaan turut menawarkan medal kepada pemenang.
Hadiah istimewa turut ditawarkan di bawah kategori ‘Champion of Champions’ dengan wang tunai berjumlah RM2,000, trofi beserta medal.
Orang ramai dijemput untuk beramai-ramai memeriahkan pertandingan ini nanti di Summer Mall Kota Samarahan, pada 17 Mei depan. -EDISI UKAS