Kumpulan Pertama Jemaah Haji 1446H Dari Miri Berlepas Ke Tanah Suci

Disiarkan pada 09 May 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Seramai 16 orang jemaah haji dari Bahagian Miri selamat berlepas menuju Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima, pada Jumaat.

Mereka merupakan kumpulan pertama dari kawasan ini bagi musim haji 1446 Hijrah, dan dijadualkan berangkat ke Madinah secara berperingkat di bawah kelolaan Lembaga Tabung Haji.

Jemaah menaiki penerbangan AirAsia AK6193 pada jam 11.40 pagi menuju Kuching, sebelum menyambung perjalanan ke Madinah keesokan harinya menerusi penerbangan khas Malaysia Airlines MH8421.

Majlis pelepasan jemaah telah disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus.

Turut hadir ialah Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad; Pegawai Agama Islam Bahagian Miri, Ustaz Shamsudin Basir serta Pengurus Baitulmal Sarawak Miri, Marini Juraibi.

Terdahulu, para jemaah diberikan taklimat oleh pegawai Tabung Haji sebelum mendaftar masuk dan memasuki balai pelepasan. -EDISI UKAS