MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) hari ini mencatat satu lagi detik bersejarah apabila berlangsungnya majlis menandatangani Perjanjian Sewa Bangunan Lama MBM bersama syarikat Imasa Dinasti Sdn. Bhd., serta satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Imasa Dinasti dan D’Sunlit Group dari Brunei Darussalam, yang diadakan di Dewan Bandaraya Miri pada Khamis.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian yang hadir sebagai tetamu kehormat dan saksi utama bagi kedua-dua sesi menandatangani dokumen penting tersebut.
Turut hadir ialah Konsul Jeneral Republik Rakyat China, Xing Wei Ping; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sebastian Ting Chiew Yew; Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang; serta wakil-wakil dari agensi kerajaan tempatan dan luar negara.
Perjanjian sewaan yang dimeterai melibatkan pembangunan semula bangunan warisan milik Majlis Bandaraya Miri untuk dijadikan Institut Perubatan Integratif Fudan, hasil kerjasama strategik antara Imasa Dinasti Sdn. Bhd. dan Fudan University dari China, salah sebuah universiti paling berprestij di Asia.
Dalam masa yang sama, pemeteraian MoU antara Imasa Dinasti dan D’Sunlit Group dari Brunei menandakan permulaan kepada kolaborasi serantau dalam bidang pembangunan, pelaburan serta penyelidikan, sekali gus memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi antara Sarawak dan negara jiran itu.
Sementara itu, Datuk Amar Profesor Dr Sim ketika dalam ucapannya menyifatkan majlis tersebut sebagai permulaan kepada satu inisiatif besar yang bakal mengubah landskap pendidikan dan perkhidmatan kesihatan di Sarawak.
Beliau menjelaskan bahawa penubuhan institut ini adalah antara langkah penting dalam merealisasikan aspirasi kerajaan negeri untuk memperoleh autonomi dalam bidang kesihatan dan pendidikan sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Projek ini mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak terhadap pembangunan sektor perubatan integratif dan membuka laluan kepada pembinaan sekolah perubatan, hospital pengajar serta pusat penyelidikan bertaraf antarabangsa di negeri ini,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa Fudan University adalah satu daripada dua institusi pengajian tinggi dari China yang diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia, menjadikan projek ini amat signifikan dalam membangunkan modal insan perubatan Sarawak.
Penandatanganan perjanjian dan MoU ini turut dilihat sebagai simbolik kepada kebangkitan semula bangunan bersejarah di tengah bandaraya Miri, yang kini diberi nafas baharu sebagai mercu tanda pembangunan berimpak tinggi. -EDISI UKAS