Dato’ Sri Huang Agih 914 Beg Sekolah DSH Tahun 2025

Posted on 09 May 2025
Source of News: UKAS


SARIKEI: Usaha berterusan memperkasakan pendidikan anak-anak di Sarikei terus digerakkan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii dengan pengagihan 914 buah Beg Sekolah DSH Tahun 2025 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan ini.

Sumbangan ini merupakan kesinambungan kepada bantuan sebelum ini, di mana beliau telah mengagihkan dua pasang pakaian sekolah dan sepasang kasut kepada pelajar-pelajar yang memerlukan.

Kali ini, bantuan disalurkan kepada 11 buah sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Haji Matahir, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Kwang Chien, SJK Su Ming, SJK Su Tak, SK Tanah Putih, SK Sg Petai, SJK Hua Nam, SJK Hua Kee, SJK Su Dok, SK Penghulu Andin dan SJK Sing Ming.

Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok memahami masih ramai ibu bapa berdepan dengan beban kewangan setiap kali sesi persekolahan bermula.

“Oleh itu, saya amat berharap sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga dan memberi semangat kepada pelajar untuk terus belajar bersungguh-sungguh,” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut pada Khamis.

Beliau turut menegaskan bahawa pelajar ialah aset penting negara yang perlu diberi perhatian, bimbingan dan sokongan berterusan agar mampu mencapai kejayaan yang membanggakan.

Program pengagihan ini dilaksanakan oleh pasukan Pusat Khidmat Dato’ Sri Huang yang diketuai oleh Kapitan Ling Dien Yong, dengan kerjasama Kr Wong Kie Yong, Penghulu Huang Tiong Kang, Kapitan Ling Sien Chuong dan Tuai Rumah Pitre Ambit.

Pihak sekolah dalam pada itu merakamkan penghargaan atas keprihatinan dan komitmen Dato’ Sri Huang terhadap kebajikan pelajar, yang bukan sahaja meringankan beban ibu bapa, tetapi juga memberi motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha gigih dalam pelajaran mereka. -EDISI UKAS