Projek PAWE Kabong Bukti Komitmen Kerajaan Teguh Bela Warga Emas

Disiarkan pada 09 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KABONG: Komitmen Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan warga emas terus dizahirkan melalui pelaksanaan projek pembinaan baharu Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kabong yang kini giat dilaksanakan.

Sebagai langkah mempercepatkan pelaksanaan projek ini, satu lawatan tapak telah diadakan pada Khamis yang turut melibatkan kunjungan ke penempatan sementara PAWE Kabong.

Lawatan ini diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir dan diiringi oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak, Semawi Mohamad.

Projek berimpak tinggi ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) melibatkan peruntukan sebanyak RM800,000.

Ia menandakan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan warga emas di Kabong mendapat akses kepada fasiliti yang lebih selesa, selamat dan kondusif.

Lawatan ini turut memberi mesej jelas bahawa kebajikan warga emas sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan wilayah ini.

Dengan adanya PAWE baharu kelak, warga emas di Kabong dijangka akan lebih aktif dan berdaya saing, sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka selaras dengan hala tuju pembangunan inklusif Kerajaan Sarawak. -EDISI UKAS