Sidang Kemuncak Pekak Malaysia Pertama Berlangsung Di Sibu September Ini

Disiarkan pada 08 May 2025
Sumber Berita: UKAS



SIBU: Buat julung kalinya, Sidang Kemuncak Pekak Malaysia akan dianjurkan pada 26 hingga 28 September 2025 di Hotel Kingwood, di sini, dalam usaha memperkasa komuniti pekak melalui dialog, perkongsian ilmu dan pembangunan dasar yang inklusif.

Acara bersejarah ini dianjurkan oleh Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Orang Pekak Kebangsaan (DAWN) dengan kerjasama Persatuan Perkhidmatan Komuniti Pekak Sarawak (SD) selaku tuan rumah serta disokong oleh Business Events Sarawak.

Bertemakan ‘Masa Depan Inklusif: Memajukan Akses dan Kesaksamaan untuk Komuniti Pekak’, sidang kemuncak ini dijangka menghimpunkan antara 300 hingga 400 peserta dari dalam dan luar negara dengan pelbagai pembentangan kertas kerja berkaitan hak, peluang pekerjaan, serta penggunaan dan pengiktirafan bahasa isyarat di rantau Asia Tenggara bakal diketengahkan.

Antara tajuk menarik termasuk ‘Penyelesaian Penciptaan Pekerjaan untuk Orang Pekak’, ‘Memartabatkan Hak Bahasa Isyarat di Indonesia’, ‘Transformasi Perundangan Bahasa Isyarat Filipina’, dan ‘Cabaran serta Pembangunan Perkhidmatan Jurubahasa Isyarat di Thailand’.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam, dalam satu sidang media pada Khamis menyatakan bahawa walaupun Akta Orang Kurang Upaya 2008 telah diwujudkan, golongan pekak masih menghadapi cabaran besar akibat stereotaip dan salah tanggapan masyarakat terhadap kebolehan mereka.

“Rakyat Malaysia yang pekak terus berdepan dengan pengasingan, bukan disebabkan kekurangan kebolehan mereka, tetapi disebabkan tanggapan, stereotaip dan norma masyarakat yang telah berakar umbi,” jelas beliau.
Menurut beliau lagi, cabaran literasi dalam Bahasa Melayu dan Inggeris turut menyukarkan akses kepada maklumat penting, khususnya berkaitan hak dan kebajikan.

Sebagai langkah proaktif, kerajaan melalui inisiatif SEDIDIK telah memperkenalkan pembelajaran Bahasa Isyarat Malaysia kepada kanak-kanak, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) turut menyalurkan bantuan bulanan kepada 14,675 orang kurang upaya dengan 3,445 daripadanya kini bekerja dalam pelbagai sektor.

“Komuniti pekak telah membuktikan ketabahan mereka. Kini tiba masanya masyarakat menyambut mereka dengan tangan terbuka dan mewujudkan sebuah Malaysia yang benar-benar inklusif,” tegas beliau.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak, Amelia Roziman; Presiden DAWN, Sarah Ibrahim; Pengerusi SD, Albert Wong Tuong Chui; serta wakil Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Amelia Tiu. -EDISI UKAS