SELANGAU: Kerajaan Sarawak terus menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyatnya apabila menyalurkan pelbagai bentuk bantuan sempena musim perayaan, khususnya kepada golongan sasar yang memerlukan.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah menyalurkan bantuan berjumlah RM98,816,400 kepada 55,184 penerima di seluruh wilayah ini dari Januari hingga April tahun ini.
Bantuan tersebut meliputi pelbagai skim termasuk Bantuan Warga Emas (BWE), Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Bantuan Am, Elaun Pekerja OKU (EPOKU), Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik (BPT), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB), Bantuan Anak Pelihara (BAP) serta Bantuan Belia-Beliawanis (BBB).
“Bantuan ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan penerima, malah menjadi sokongan moral untuk mereka meneruskan kehidupan dengan lebih yakin dan bermaruah,” katanya semasa berucap dalam program Sejambak Kasih Gawai yang diadakan di Selangau pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai program tersebut, beliau memaklumkan seramai 24,101 penerima di seluruh Sarawak bakal menerima manfaat, meliputi 13 daerah utama termasuk Kapit (2,878), Sibu (2,871), Sri Aman (4,359), dan Kuching (2,896).
Di bawah program Sejambak Kasih Gawai, setiap penerima layak menerima bantuan kewangan RM100 dan hamper bernilai RM80, satu inisiatif yang telah diteruskan selama lebih dua dekad bagi memastikan tiada golongan terpinggir dalam menyambut perayaan.
“Tujuan utama bantuan ini adalah untuk membantu persiapan perayaan dan dalam masa sama mengeratkan hubungan antara pihak jabatan dan masyarakat,” tambahnya.
Datuk Mohammad Razi turut menekankan bahawa bantuan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan setiap rakyat diberi perhatian sewajarnya.
“Gunakan bantuan ini sebaiknya, dan jadikan ia sebagai pemangkin untuk memperbaiki kehidupan. Cabaran hidup itu biasa, tetapi dengan usaha dan doa yang berterusan, insya-Allah akan ada hasilnya,” pesan beliau.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang; Pegawai Daerah Selangau, Yalin Asan; wakil Pengarah Kebajikan Negeri, Noren Chunggat; dan wakil Residen Bahagian Sibu Mecgyver Boi. -EDISI UKAS