KAPIT: Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) di bawah Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan peranannya sebagai pemacu utama pembangunan strategik di kawasan Ulu Rajang, meliputi daerah Kapit, Song, Kanowit, Bukit Mabong dan Belaga dengan keluasan keseluruhannya 41,186.5 kilometer persegi.
Baru-baru ini, satu sesi taklimat khas telah diadakan oleh pihak URDA kepada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Wilayah URDA, Dr Nelson Brandah Seli bertujuan memberi penerangan menyeluruh mengenai inisiatif pembangunan infrastruktur dan program sosioekonomi di kawasan berkenaan.
Kerajaan Sarawak sebelum ini telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion kepada setiap agensi pembangunan wilayah (RDA) untuk melaksanakan pelbagai projek infrastruktur, termasuk yang diselia oleh URDA di bawah pengawasan RECODA.
Sehingga kini, RECODA telah menyelia 247 projek dibiayai Kerajaan Sarawak dan 28 projek dibiayai Kerajaan Persekutuan merangkumi pembinaan jalan, jambatan, sistem bekalan air, struktur sungai, kemudahan rekreasi, pembaikan sekolah dan penyediaan rancangan induk.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), URDA turut menerima peruntukan bagi melaksanakan lapan projek infrastruktur utama di wilayahnya termasuklah pembangunan berimpak tinggi yang bukan sahaja meningkatkan taraf hidup penduduk, tetapi juga memanfaatkan potensi kawasan seperti penjanaan tenaga hidroelektrik, pertanian komersial, akuakultur dan ekopelancongan.
Program taklimat tersebut turut memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan yang menyeluruh dan seimbang di kawasan luar bandar.
Kehadiran pemimpin-pemimpin utama kerajaan negeri serta wakil daripada jabatan-jabatan teknikal turut memberi sokongan padu kepada inisiatif pembangunan ini.
Melalui sesi berkenaan, hubungan strategik antara agensi pelaksana dan pihak berkepentingan dapat diperkukuh, membuka peluang kerjasama yang lebih mantap demi kesejahteraan masyarakat di Lembangan Rajang Hulu.
Terdahulu, Datuk Dr Abdul Rahman turut berpeluang melawat sekitar bilik-bilik pejabat dan bilik ruangan mesyuarat di pejabat URDA tersebut di mana difahamkan, bangunan pejabat tersebut akan digunakan sepenuhnya setelah kesemua kerja-kerja penyiapan dalam bangunan tersebut dalam masa terdekat.
Turut serta, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat; Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit; Timbalan Residen Bahagian Kapit, Robert Liman Deli; Setiausaha Politik Di Jabatan Premier Sarawak, Watson Awan; serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS