Perasmian Pejabat Mini FOSCC Tuyut, Miri Galak Pematuhan Aktiviti Perhutanan

Disiarkan pada 08 May 2025
Sumber Berita: UKAS


TINJAR: Sebuah pejabat mini Pusat Sehenti Pematuhan Hutan (Forest One Stop Compliance Centre - FOSCC) telah dirasmikan dalam satu majlis yang berlangsung meriah di Tuyut, Tinjar, pada Khamis.

Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Hutan Sarawak itu telah dihadiri lebih 100 orang tetamu, termasuk pegawai kanan kerajaan, wakil agensi keselamatan, pengurus syarikat pembalakan serta penduduk tempatan.

Perasmian disempurnakan oleh Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad, yang turut menyampaikan ucapan mengenai kepentingan pematuhan undang-undang perhutanan serta peranan FOSCC sebagai pusat sehenti dalam memudahkan urusan berkaitan lesen, pemantauan dan pematuhan aktiviti hutan.

Program turut diisi dengan lawatan ke pejabat mini FOSCC yang baharu serta upacara simbolik penanaman pokok sebagai komitmen terhadap pemuliharaan hutan.

Menurut Datu Hamden, kewujudan pejabat mini ini akan memudahkan pihak berkepentingan, khususnya syarikat pembalakan dan komuniti setempat, untuk mendapatkan maklumat dan menyelaraskan aktiviti hutan secara sah dan beretika.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Hutan (Konservasi Hutan dan Pembangunan), Happysupina Sait; Pegawai Hutan Wilayah Miri, Liam Dibor; Pegawai Daerah Beluru, Charles Aloysius Lisu; Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Nor Aizan Mohd Jamil; Pegawai Kanan PDRM Marudi, ASP Goldy Jangan dan Pegawai Keselamatan UKPS, Andy Ngau Laing.-EDISI UKAS