MIRI: Liputan internet di Bandar Raya Miri kini mencecah 89.2 peratus, menandakan kemajuan pesat dalam pembangunan infrastruktur digital di negeri Sarawak.
Perkembangan ini diumumkan oleh Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng dalam Sesi Libat Urus Pembangunan Telekomunikasi dan Multimedia Bahagian Miri anjuran SMA yang berlangsung di Imperial Hotel, Miri pada Khamis.
Program yang menghimpunkan lebih 250 peserta itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang.
Wakil-wakil agensi utama seperti Digital Nasional Berhad (DNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) serta Agensi Nuklear Malaysia turut sama menyertai sesi ini.
Menurut Dato Dr. Anderson, Kerajaan Sarawak menyasarkan pembinaan 7,000 menara telekomunikasi sebagai usaha menyediakan liputan menyeluruh di seluruh negeri.
Setakat ini, 4,349 menara telah siap dibina manakala 328 lagi dalam proses pelaksanaan tahun ini.
Baki 2,323 menara akan dibangunkan secara berperingkat bermula tahun hadapan.
“Pembangunan ini penting bagi memastikan rakyat Sarawak tidak tercicir dalam arus digital, terutamanya dalam menerima bantuan dan perkhidmatan kerajaan secara dalam talian,” katanya dalam ucapan pembukaan.
Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah S Pay Global, dompet digital milik Kerajaan Sarawak yang diuruskan oleh SMA.
Sehingga April 2025, aplikasi tersebut merekodkan 1.56 juta pengguna dan lebih 94,000 peniaga berdaftar dengan jumlah transaksi melebihi RM5.1 bilion.
Di Bahagian Miri sahaja, terdapat 155,515 pengguna dan 10,435 peniaga yang telah memanfaatkan platform tersebut.
Dalam masa yang sama, SMA turut menekankan kepentingan keselamatan siber melalui inisiatif CyberSarawak yang memperkenalkan program kesedaran 3S — Stay Safe, Stay Smart, Stay Secure.
Orang ramai disaran melaporkan sebarang insiden penipuan atau ancaman siber menerusi laman web
www.cybersarawak.gov.my atau talian 082-495339.
Selain itu, isu vandalisme terhadap infrastruktur telekomunikasi turut dibangkitkan sebagai cabaran utama.
Semua pihak diseru memainkan peranan dalam melindungi aset digital negeri ini demi kepentingan bersama.
Sesi ini turut diisi dengan pembentangan oleh wakil agensi strategik dan sesi soal jawab bagi memberi ruang kepada peserta mendapatkan maklumat terkini serta menyuarakan pandangan mereka.
Turut hadir ialah beberapa pemimpin negeri termasuk ADUN Piasau, Dato Sebastian Ting Chiew Yew; ADUN Marudi, Datuk Dr. Penguang Manggil; ADUN Mulu, Datuk Gerawat Gala; Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau serta ADUN Telang Usan, Dato Dennis Ngau.-EDISI UKAS