MoU Antara RECODA Dan Curtin Malaysia Perkukuh Pembangunan Sosioekonomi di Sarawak

Disiarkan pada 08 May 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Satu langkah penting ke arah pembangunan mampan dan pemerkasaan komuniti di Sarawak dimeterai menerusi majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Curtin University Malaysia.

Majlis berlangsung pada jam 3 petang di The Council Room, Bangunan Heron 1, Curtin University Malaysia, Miri, pada Khamis.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Ismawi Ismuni; Pengarah Bahagian Perkhidmatan Korporat RECODA, Dr. Hadysyam Junaidi; Pemangku Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Eksekutif Curtin Malaysia, Profesor Vincent Lee Chieng Chen dan Ketua Pegawai Operasi Curtin Malaysia, Sharon Chong Pau Fang.

Dalam ucapan alu-aluan, Profesor Vincent Lee menyifatkan MoU ini sebagai permulaan kepada kerjasama bermakna yang berteraskan komitmen bersama terhadap pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan lestari di Sarawak, khususnya dalam kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Beliau turut menekankan potensi kolaborasi dalam bidang penyelidikan, pembangunan komuniti, inovasi dan pemindahan ilmu.
Datuk Ismawi dalam ucapannya turut menegaskan bahawa kerjasama strategik ini penting bagi menjayakan aspirasi Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).
Beliau turut berkongsi kejayaan pelbagai inisiatif seperti EMPLOY@SCORE dan COMMUNITY@SCORE yang telah memberi impak positif kepada masyarakat luar bandar.

Majlis diteruskan dengan acara menandatangani dan pertukaran dokumen MoU, disusuli sesi bergambar dan pertukaran cenderahati.-EDISI UKAS