MIRI: Hubungan dua hala antara Miri dan Brunei Darussalam terus diperkukuh menerusi penganjuran sesi kolaborasi ekonomi yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) pada Khamis.
Bertempat di Dewan Bandaraya Miri, sesi yang dinamakan Brunei-Miri Economic Collaboration Session itu menghimpunkan seramai 30 delegasi dari Brunei bersama pemimpin-pemimpin tempatan, ahli industri serta pihak berkepentingan.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya memperkukuh hubungan erat yang sedia terjalin antara Miri dan Brunei, terutamanya dalam sektor strategik seperti pelancongan, tenaga, perkhidmatan dan pendidikan.
“Kunjungan hormat ini bukan sahaja mencerminkan kedekatan geografi yang kita kongsi, malah menunjukkan hasrat bersama untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, menjalin usaha sama dan meneroka peluang baharu yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Sesi dialog ini turut menjadi medan penting untuk pertukaran idea serta mengenal pasti sektor utama yang berpotensi untuk diterokai bersama ke arah pembangunan mampan dan kemakmuran serantau.
Antara fokus utama perbincangan ialah peluang pelaburan dalam projek Kenyalang Smart City, sebuah inisiatif bandar pintar bersepadu yang sedang dibangunkan berhampiran Curtin University Malaysia.
Projek ini dijangka menjadi pemangkin transformasi ekonomi Miri serta membuka ruang luas kepada pelabur Brunei dalam bidang seperti infrastruktur pintar, tenaga hijau, pelancongan perubatan dan pendidikan.
Sesi turut disusuli dengan lawatan tapak ke lokasi projek serta jamuan makan tengah hari bersama pemimpin industri dan wakil perniagaan kedua-dua pihak.
MBM berharap sesi ini akan menghasilkan pelan tindakan konkrit ke arah menjalin kerjasama ekonomi rentas sempadan yang lebih tersusun, berimpak tinggi dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat di kedua-dua wilayah.
Turut hadir ialah Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri Kr. Ariffin Mohamad.-EDISI UKAS