KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang menjalankan usaha untuk mewajibkan pemasangan Defibrilator Luaran Automatik (AED) di setiap bangunan wilayah ini, pada masa hadapan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, pihak kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) akan membuat perbincangan dengan Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali untuk membentangkan Ordinan Bangunan bagi mewajibkan perkara berkenaan.
“Saya telah meminta Peguam Besar Sarawak untuk melihat sama ada kita boleh membawa ke hadapan Ordinan Bangunan atau tidak, supaya di Sarawak, semua tempat awam diwajibkan untuk mempunyai AED secara mandatori.
“Ini kerana penyakit nombor satu kita ialah penyakit jantung dan semakin ramai orang rebah secara tiba-tiba, maka sebab itu kita mahu perkara ini diwajibkan melalui undang-undang.
“Untuk membentangkan satu undang-undang di bawah Ordinan Bangunan, saya perlukan Peguam Besar Negeri kerana saya tidak boleh sewenang-wenangnya membentangkannya di Parlimen dan mengumumkannya sendiri memandangkan ada prosedur dan proses yang perlu diikuti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Ambulans Baharu kepada PBSM Malaysia Cawangan Sarawak, di sini, pada Khamis.
Datuk Amar Profesor Dr Sim menambah, pihaknya kini sedang mempertimbangkan untuk memasang AED di bangunan milik kerajaan Sarawak terlebih dahulu, sebelum diteruskan ke bangunan-bangunan awam setelah Ordinan Bangunan tersebut diluluskan kelak.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyaksikan penyerahan cek bernilai RM43,270.05 daripada Pengarah Urusan Thian Lee Marketing Sdn Bhd, Joseph Ho kepada pihak PBSM Malaysia Cawangan Sarawak. -EDISI UKAS