BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menyeru penduduk rumah panjang di kawasan Sungai Mador, Bintangor agar terus mengekalkan sokongan terhadap wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi memastikan pembangunan infrastruktur di daerah ini dapat diteruskan.
Beliau berkata demikian semasa meneruskan siri Lawatan Pra Gawai hari ke-13 ke beberapa rumah panjang di kawasan tersebut pada Rabu.
Menurut Datuk Ding, sokongan padu daripada penduduk amat dihargai kerana ia mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap peranan wakil rakyat dalam memperjuangkan pembangunan luar bandar tanpa mengira sempadan DUN atau Parlimen.
“Saya amat berterima kasih atas sambutan baik dan sokongan yang diberikan oleh tuai rumah serta penduduk rumah panjang selama ini.
“Komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan amat penting dalam memastikan segala permohonan dan keperluan infrastruktur dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut mendengar beberapa permohonan daripada penduduk, termasuk permohonan bagi menaiktaraf kemudahan asas melalui Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) serta permohonan penyambungan bekalan elektrik ke rumah panjang baharu.
Mengulas lanjut, Datuk Ding memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak menyediakan subsidi sehingga 70 peratus bagi caj penyambungan elektrik kepada pemilik rumah daripada golongan B40 di kawasan bandar, sekiranya kos penyambungan berada dalam lingkungan RM5,000 hingga RM10,000.
Sehubungan itu, beliau menyeru para tuai rumah agar mengadakan perbincangan bersama penduduk bagi mengenal pasti keperluan utama dan menghantar permohonan rasmi ke Pusat Khidmat ADUN Meradong.
“Saya galakkan semua tuai rumah dan penduduk berbincang terlebih dahulu mengenai sebarang keperluan, kemudian serahkan surat rasmi kepada Pusat Khidmat agar tindakan lanjut boleh diambil segera,” tambahnya.
Lawatan Pra Gawai ini merupakan sebahagian daripada usaha mendekati rakyat, mendengar keluhan mereka secara langsung serta memastikan tiada komuniti yang tercicir dalam agenda pembangunan negeri.-EDISI UKAS