Lima Bekas Prospek PPPNS Terima Bantuan LIFE

Disiarkan pada 08 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sesi penyerahan Bantuan Low Income Family Empowerment (LIFE) yang ketiga telah diadakan di Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak (PPPNS) pada Khamis, membuktikan komitmen berterusan pihak penjara dalam membantu anak Sarawak membina semula kehidupan pasca pemulihan.

Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Pengarah Penjara Negeri Sarawak, TKP Teyun Thian Eim dengan kehadiran beberapa pegawai kanan antaranya Ketua Seksyen PPPNS, TPP Fandika Safrudin; Ketua Unit Rawatan dan Layanan PPPNS, KIP Zaini Ibrahim serta wakil Majlis Pembangunan Sosial (MPS), Kelvin Kelian.

Turut hadir ialah lima orang bekas prospek yang menerima bantuan berbentuk modal peningkatan pendapatan dan perniagaan.

Jumlah keseluruhan bantuan disalurkan oleh MPS di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) adalah sebanyak RM23,810.80.

Menurut kenyataan PPPNS, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan dalam memacu pemerkasaan ekonomi golongan B40 dalam kalangan bekas penghuni institusi pemulihan.

Sejak Oktober 2024, sebanyak tiga sesi penyerahan bantuan telah diadakan di pejabat berkenaan.

PPPNS berharap program ini dapat diteruskan dengan lebih banyak penyertaan pada masa akan datang, selari dengan kemahiran dan minat penerima, sekali gus menyokong matlamat reintegrasi sosial secara holistik.-EDISI UKAS