MUKAH: Tujuh keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Sungai Pegei menerima sumbangan daripada Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib dalam satu majlis ringkas yang berlangsung berhampiran tapak kejadian pada Khamis.
Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Pegawai Eksekutif Pusat Khidmat P.213 Mukah, Almalhakim Norshidi yang mewakili Dato Hanifah.
Turut hadir ialah Penghulu Kampung Sungai Pegei, Besiri Keri dan Ketua Kaum Kampung Sungai Pegei, Razali Juni.
Dato Hanifah menyumbang sebanyak RM2,000 kepada setiap keluarga yang terkesan, manakala sebuah keluarga bukan warganegara Malaysia, turut menerima sumbangan peribadi sebanyak RM1,000.
Selain bantuan kewangan segera, satu daripada tiga buah rumah yang terlibat dalam kejadian telah diluluskan peruntukan sebanyak RM15,000 bagi tujuan baik pulih, berdasarkan pemeriksaan awal yang dijalankan oleh pegawai dari Pusat Khidmat P213 Mukah.
Menurut Dato Hanifah, sumbangan ini diharap dapat meringankan beban keluarga yang dilanda musibah serta membantu mereka memulakan semula kehidupan.
Beliau turut menyeru mana-mana pihak luar yang berkemampuan agar tampil menghulurkan bantuan dan sokongan kepada mangsa yang terlibat.
Kebakaran yang berlaku baru-baru ini telah memusnahkan tiga buah rumah dan menjejaskan tujuh keluarga di kampung tersebut. -EDISI UKAS