SCOPE Tawar Kelayakan Profesional MICPA Bermula Jun 2025

Posted on 08 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sarawak Centre of Performance Excellence Sdn Bhd (SCOPE) dengan bangganya mengumumkan kerjasama strategik bersama The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) bagi menawarkan program kelayakan MICPA bermula Jun 2025.

Inisiatif ini bertujuan memperkukuh barisan bakat profesional perakaunan di Sarawak serta menyokong aspirasi negeri ke arah membina tenaga kerja berprestasi tinggi dan berdaya saing global sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Melalui kerjasama ini, para bakal akauntan dan profesional kewangan di Sarawak kini berpeluang mengikuti salah satu kelayakan perakaunan paling dihormati di Malaysia secara tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE Joseph Lim Jit Sek berkata, program ini akan ditawarkan melalui model pembelajaran campuran, yang menggabungkan kandungan akademik MICPA yang ketat dengan latihan industri dan sokongan holistik daripada SCOPE.

“Kerjasama ini merupakan satu pencapaian penting dalam pembangunan kapasiti di Sarawak.

“Dengan menawarkan kelayakan MICPA, kami memperkasa bakat tempatan dengan kelayakan dan kemahiran yang diperlukan untuk cemerlang dalam sektor awam dan swasta, terutamanya dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), badan berkanun, dan industri baharu yang sedang berkembang," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Tambahnya, kelayakan MICPA diiktiraf sebagai antara yang terunggul dalam bidang perakaunan di Malaysia, dan membuka laluan kepada gelaran Chartered Accountant (CA) melalui program bersama dengan Chartered Accountants Australia and New Zealand (CA-ANZ).

Jelasnya, calon akan menerima manfaat seperti tutorial yang dikendalikan oleh pakar, bengkel persediaan peperiksaan dan bimbingan profesional menerusi ekosistem pembelajaran SCOPE.

"Pendaftaran bagi kohort pertama dibuka sekarang sehingga pertengahan Mei 2025 dengan kelas dijadualkan bermula pada bulan Jun.

"Program ini terbuka kepada golongan bekerja, graduan perakaunan, profesional yang ingin memajukan kerjaya, serta individu yang bercadang untuk beralih ke bidang perakaunan dan kewangan," ujarnya.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila hubungi Ketua Program, Tang Ing Sia di ingsia@scope.net.my. -EDISI UKAS